OP Hippo yang dijalankan anggota penguat kuasa SPAD di Puchong, semalam.
Mohd Hasbi Sidek


Puchong: Sengaja mematikan Sistem Pengesanan Global (GPS) dari jarak jauh sekali gus menyebabkan enjin lori membawa lebih muatan tidak boleh dihidupkan pihak berkuasa.

Taktik berkenaan digunakan bagi menghalang lori itu dibawa untuk ditimbang anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dikesan menerusi operasi Op Hippo di Taman Meranti Jaya, di sini, bermula jam 4 pagi semalam.

Sebelum itu, kenderaan berat yang membawa muatan tanah ke tapak pembinaan di Puchong itu ditahan di Kinrara, di sini dan dibawa ke Jalan Meranti Jaya untuk ditimbang.

Bagaimanapun, sebaik tiba di Jalan Meranti Jaya, majikan kepada pemandu lori berkenaan dipercayai mematikan GPS kenderaan itu menyebabkan ia tidak bergerak sekali gus gagal ditimbang.

Difahamkan, tindakan sabotaj itu berikutan denda yang dikenakan terhadap kesalahan membawa muatan berlebihan lebih tinggi berbanding kesalahan lain pihak berkuasa sukar membuktikan kesalahan jika berat tidak ditimbang.

Ketua Bahagian Penguatkuasa SPAD Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, pihaknya menahan 11 lori yang disyaki membawa muatan berlebihan di Puchong jam 6 pagi.

Menurutnya, tiga daripada pemandu lori itu enggan berkerjasama menimbang muatan selain ada antara mereka lari meninggal kenderaan berat itu.

“Kebanyakan pemandu atau pemilik lori cuba mengelak proses timbang kerana menyedari denda yang dikenakan di mahkamah kelak lebih tinggi berbanding kesalahan lain.

“Satu daripada lori yang ditahan dimatikan sistem GPS menyebabkan ia tidak dapat dihidupkan sekali gus tidak boleh bergerak dan kami mengesan pemilik lori itu,” katanya.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membawa muatan berlebihan, membawa muatan secara berbahaya dan muatan melebihi had panel.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM100,000 atau tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan enggan memberi kerjasama, kami akan membuat siasatan mengikut Seksyen 234(C) APAD 2010 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 3:41 AM