ANGGOTA bomba dan PPDA menemui mangsa selepas usaha mencari dilakukan kira-kira tiga jam. IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


REMAJA ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh di Sungai Semantan, dekat Taman Mentakab Indah, Temerloh, lewat petang Sabtu.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Mohd Zamri Mohd Sidek, berkata mangsa Maizatul Aifa Samsudin, 18, ditemui pada 5.45 petang.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.30 petang.

"Sebaik menerima panggilan, enam anggota termasuk empat anggota pasukan penyelamatan di air (PPDA) dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mencari dan menyelamat mangsa.

"Mangsa ditemui kira-kira lima meter dari lokasi dia dipercayai jatuh. Operasi pencarian dilakukan kira-kira tiga jam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) dan difahamkan kejadian turut dilaporkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 10:16 PM