Pegawai imigresen membuat pemeriksaan  ketika serbuan di spa di Jalan Sultan Ahmad Shah,  kelmarin.
Pegawai imigresen membuat pemeriksaan ketika serbuan di spa di Jalan Sultan Ahmad Shah, kelmarin.
Hadzlihady Hassan


Georgetown: Bertempiaran lari dengan hanya memakai tuala selain ada yang cuba menyembunyikan diri dalam bilik air.

Itu antara gelagat beberapa pelanggan yang menikmati urutan di sebuah spa di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini, kelmarin.

Mereka yang menyedari premis terbabit diserbu pada awalnya cuba melarikan diri, namun gagal apabila melihat anggota imigresen bersiap sedia di dalam dan luar spa berkenaan.

Serbuan terbabit dilakukan jam 5 petang selepas risikan dan intipan oleh anggota Jabatan Imigresen (JIM) negeri sejak beberapa minggu lalu.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JIM negeri, Khwaja Banthey Navaz Mohamed Haneef berkata, 30 anggota terbabit dalam operasi itu.

Menurutnya, operasi terbabit ditumpukan di spa tiga tingkat yang eksklusif dan pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 27 pekerja di situ.

“Hasil pemeriksaan itu, 21 individu yang terdiri daripada wanita warga Thailand, Myanmar dan Indonesia ditahan kerana didapati tidak mempunyai dokumen dan salah guna pas lawatan sosial.

“Kami sentiasa memantau dan melakukan operasi seumpama ini bagi membanteras kegiatan warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan berusia antara 20 dan 30 tahun itu dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Juru untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 5:56 AM