MOTOSIKAL Yamaha R1 yang ditunggang mangsa (gambar kecil, bawah), merempuh Honda CRV dalam kemalangan di Jalan Kelubi, Jasin. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Hilmie Hussin


SEORANG peniaga meninggal dunia selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan di Jalan Kelubi, Jasin, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah malam itu, mangsa Mohd Syafiq Muhamad, 29, menunggang motosikal Yamaha R1, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh Honda CRV dipandu lelaki berusia 51, yang ketika itu parkir di bahu jalan.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari Kelubi ke bandar Jasin, sebelum hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Honda CRV tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 2:08 PM