Najib beramah mesra dengan orang ramai pada Perhimpunan Agung MIC ke-71 di PWTC, Kuala Lumpur. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu MIC menyenaraikan calon boleh menang, mempunyai kredibiliti dan kualiti baik serta diterima oleh semua kaum pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau tahu MIC mahu bertanding di semua kerusi yang sudah pun diagihkan sebelum ini kepada mereka.

"Saya tahu dan saya mahu MIC prasyaratnya anda mesti menyenaraikan calon boleh menang. Calon boleh menang ialah calon berkredibiliti. Mesti ada penerimaan semua kaum.

"Saya ucap terima kasih kepada Presiden MIC kerana memberi simpati kepada tahfiz di Kampung (Datuk) Keramat yang telah mengalami musibah yang menyedihkan. Ini adalah contoh baik.

"MIC ambil peduli pada masyarakat lain. Inilah sikap yang mesti diturunkan di semua peringkat. Anda mesti tunjuk sikap ambil peduli anda kepada semua rakyat Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-71 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Hadir sama, Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri SK Devamany, Duta Khas ke India dan Asia Selatan Tun S Samy Vellu serta pemimpin parti komponen BN.

Najib berkata, kerajaan BN akan mengorak langkah ke hadapan melalui Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) dan akan cuba menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat terbabit.

Menurutnya, dalam MIB yang dilancarkan pada April lalu, tiga cabaran digariskan membabitkan bidang ekonomi, pendidikan dan sosial.

"Dalam bidang pendidikan, saya komited penyertaan kaum India mencapai 7 peratus di peringkat IPTA (institusi pengajian tinggi awam).

"Kita baru-baru ini telah terima 3,404 permohonan yang merupakan 5.6 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan. Daripada jumlah itu, 2,934 permohonan dikategorikan sebagai permohonan yang layak dan seramai 2,199 orang telah ditawarkan tempat.

"Sebagai langkah untuk memastikan trend ini ke arah pencapaian sasaran 7 peratus, saya mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi supaya baki 735 permohonan layak diberi tawaran untuk menuntut di universiti kerajaan," katanya.

Katanya, beliau juga menerima pandangan soal pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak cukup untuk memenuhi keperluan kumpulan B40 (golongan berpendapatan rendah).

"Kita akan mengkaji lebih mendalam lagi. Sebab ia bukan masalah kaum India saja. Ia masalah semua masyarakat. Kita akan cari penyelesaian.

"Masalahnya, kita tak boleh nak tambah cukai. Sebab tambah cukai rakyat Malaysia tidak suka. Rakyat Malaysia tidak suka membayar lebih cukai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 2:59 PM