WARGA emas cedera di tangan kiri selepas terjatuh sebelum tangannya termasuk ke dalam saluran lubang kumbahan di tandas.
HM Digital

Serdang: Seorang lelaki warga emas terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam selepas tangan kirinya terperosok ke dalam saluran lubang kumbahan di tandas.

Dalam kejadian jam 7 malam kelmarin, mangsa, Mohammad Rani, 68, dikatakan terjatuh ketika berada di dalam bilik air di rumahnya di Taman Kota Perdana, Seri Kembangan, di sini.

Insiden itu menyebabkan tangan mangsa terperosok ke dalam lubang itu hingga ke paras lengan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.12 malam.

“Seramai enam anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati keseluruhan tangan kiri mangsa termasuk ke dalam saluran lubang kecil di bilik air berkenaan,” katanya.

Mohd Sani berkata, pihaknya mengambil masa lebih 30 minit untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit di dalam saluran berkenaan.

“Kami terpaksa menebuk lubang kecil di permukaan saluran itu untuk mengeluarkan tangan kiri mangsa.

“Mangsa yang hanya cedera ringan diserahkan kepada pihak Hospital Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 9:55 AM