KEADAAN kenderaan yang terbabit nahas di Jalan Lembaga Padi, Inanam, Kota Kinabalu.

Kota Kinabalu: Dua individu dilaporkan cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan pacuan empat roda sebuah Toyota Hilux dan Perodua Myvi di Jalan Lembaga Padi, Inanam, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, dua mangsa berkenaan dikeluarkan dari kenderaan sebelum pasukan bomba tiba untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2).

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.30 pagi berhubung kemalangan itu sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama sebuah jentera dikejar ke lokasi kejadian.

“Dua mangsa yang cedera dikeluarkan orang awam sebelum anggota bomba tiba. Kedua-dua mangsa yang tidak diketahui identiti itu kemudian dibawa ke HQE2 untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 11:16 AM