NAJIB bersama Dr Subramaniam (dua dari kiri) dan kepemimpinan MIC mengangkat tangan sempena merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-71 di Dewan Tun Razak PWTC, semalam.


Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menerima pandangan soal pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak cukup untuk memenuhi keperluan kelompok B40 (golongan berpendapatan rendah).

“Kita akan mengkaji lebih mendalam lagi. Sebab ia bukan masalah kaum India saja. Ia masalah semua masyarakat. Kita akan cari penyelesaian.

“Masalahnya, kita tak boleh nak tambah cukai. Sebab tambah cukai rakyat Malaysia tidak suka. Rakyat Malaysia tidak suka membayar lebih cukai,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-71 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri SK Devamany, Duta Khas ke India dan Asia Selatan Tun S Samy Vellu serta pemimpin parti komponen BN.

Najib berkata, kerajaan BN akan mengorak langkah ke hadapan melalui Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) dan akan cuba menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat terbabit.

Menurutnya, dalam MIB yang dilancarkan pada April lalu, tiga cabaran digariskan membabitkan bidang ekonomi, pendidikan dan sosial.

“Dalam bidang pendidikan, saya komited penyertaan kaum India mencapai 7 peratus di peringkat IPTA (institusi pengajian tinggi awam).

“Kita baru-baru ini terima 3,404 permohonan yang juga 5.6 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan. Daripada jumlah itu, 2,934 permohonan dikategorikan sebagai permohonan yang layak dan seramai 2,199 ditawarkan tempat.

“Sebagai langkah untuk memastikan trend ini ke arah pencapaian sasaran 7 peratus, saya mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya baki 735 permohonan layak diberi tawaran untuk menuntut di universiti kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Najib mahu MIC menyenaraikan calon boleh menang, mempunyai kredibiliti dan kualiti baik serta diterima oleh semua kaum pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau tahu MIC mahu bertanding di semua kerusi yang sudah pun diagihkan sebelum ini kepadanya.

“Saya tahu dan saya mahu MIC prasyaratnya anda mesti menyenaraikan calon boleh menang. Calon boleh menang ialah calon berkredibiliti. Mesti ada penerimaan semua kaum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 11:41 AM