Taman Alam Kinta diisytihar sebagai Taman Negeri ketiga selepas Royal Belum, Banding dan Pulau Sembilan, Bagan Datuk. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Taman Alam Kinta diisytihar sebagai Taman Negeri ketiga selepas Royal Belum, Banding dan Pulau Sembilan, Bagan Datuk. FOTO MUHAIZAN YAHYA


Taman Alam Kinta, Kampar hari ini diisytihar sebagai Taman Negeri ketiga selepas Royal Belum, Banding dan Pulau Sembilan, Bagan Datuk.

Taman berkeluasan lebih 395 hektar dalam Mukim Teja itu menjadi tumpuan pelancong luar terutama bagi pemerhati burung apabila menjadi habitat dan persinggahan lebih 150 spesis burung.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, pengisytiharan itu sekali gus diharapkan bakal menjadi salah satu lokasi tumpuan pengunjung yang berkonsepkan eko pelancongan.

Menurutnya, seperti Santuari Burung Kuala Gula, Taman Alam Kinta juga dihuni dua kategori burung iaitu burung residen dan hijrah (migratory birds) yang menjadi tarikan utama peminat burung ke taman ini.

"Kawasan taman ini dikelilingi hutan dan sungai yang menjadi persinggahan burung antaranya spesis Pucung, Raja Udang, Wak wak, Belatuk, Tiung air juga Bangau.

"Sejak awal tahun, kerajaan melalui Perbadanan Taman Negeri melaksanakan beberapa kerja penyelenggaraan dan penambah baik infrastruktur.

"Melalui peruntukan yang ditetapkan, setiap aktiviti mahupun perancangan yang dilakukan di taman ini adalah tertakhluk mengikut Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2011 bagi mematikan kawasan ini terus terpelihara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pembukaan rasmi Taman Alam Kinta, Kampar hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Pemangku Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Noor Asmah Mohd Nawawi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 9:08 PM