MAS Ermieyati mencuba sukan paragliding dikendali Mohd Faizal di Bukit Jugra.
AKSI MAS Ermieyati melakukan paragliding.
MAS Ermieyati ditemui pihak media, semalam.
Fuad Hadinata Yaacob


Kuala Langat: Selepas hampir dua jam menunggu dengan dua kali percubaan luncur dilakukan, akhirnya impian Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk melakukan luncur udara atau paragliding akhirnya berjaya dilakukan.

Walaupun berada di udara kira-kira dua minit, ia sudah cukup menghadirkan pelbagai perasaan kepadanya yang pertama kali melakukan aktiviti berkenaan.

“Cuak, bimbang, teruja....semuanya bercampur baur kerana inilah kali pertama saya melakukan aktiviti ini.

“Dua kali mencuba tidak berjaya kerana disebabkan faktor angin dan kali ketiga baru kami dapat melakukannya dengan baik,” katanya ditemui selepas melakukan aktiviti berkenaan di Bukit Jugra di sini semalam.

Dalam aktiviti itu Mas Ermieyati dibawa oleh ‘tendem pilot’ (membawa penumpang) Mohd Faizal Abdul Wahab, 32, yang juga kakitangan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Mereka meluncur jam 1.15 tengah hari pada ketinggian lebih 150 meter dari aras laut dan terus menuju ke lokasi pendaratan di bawah Bukit Jugra dalam masa dua minit.

Mas Ermieyati berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan aktiviti itu perlu dilakukan dengan berhati-hati.

“Pada saya aktiviti ini menyeronokkan dan saya akan lakukannya lagi selepas ini, cuma hari ini (semalam) keadaan cuaca tidak menentu seperti hujan dan arah angin menyebabkan kami hanya boleh meluncur dalam tempoh singkat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sukan ekstrem itu boleh diketengahkan dengan lebih giat lagi untuk menarik peminat sukan berkenaan sama ada dari dalam atau luar negara.

Menurutnya, kementerian berkenaan akan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama mereka yang terbabit dalam sukan itu termasuk paraglider dan persatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 4:43 AM