KEADAAN bangunan sekolah yang uzur dan daif.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Ketika negara masih berduka dengan kematian 23 pelajar dan guru tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah akibat kebakaran, penuntut Sekolah Agama Tahfiz Anak Yatim dan Miskin di Kampung Jerek, di sini pula bertahan menghuni bangunan uzur.

Bangunan yang juga tapak Sekolah Kebangsaan (SK) Jerek, mula dihuni sejak 2009 selepas mendapat kebenaran Kementerian Pendidikan untuk diambil alih.

Malangnya, sejak tempoh pengambilalihan itu, tiada penambahbaikan dilakukan ke atas bangunan berkenaan menyebabkan silingnya pecah, tidak bertingkap dan suasana kurang baik untuk pembelajaran pelajar tahfiz.

Bagaimanapun, Mudirnya, Abd Rahman Musa berkata, pihaknya tidak sanggup menutup sekolah itu kerana 23 pelajar dari serata negara masih mengaji dengan yuran bulanan RM100.


PELAJAR Sekolah Agama Tahfiz Anak Yatim dan Miskin di Kampung Jerek tekun menghafal al-Quran.

“Saya sedar bangunan ini semakin daif dan saya bertanggungjawab memastikan ia dijaga, tetapi kekangan kewangan menyebabkan kami sukar membaik pulih.

“Dana kami hanya cukup untuk pengurusan termasuk membayar gaji tiga tenaga pengajar. Ada juga individu dan peniaga prihatin beri sumbangan kerana kita tak boleh bergantung kepada yuran pelajar semata-mata,” katanya, semalam.

Beliau berkata, ini kerana ada pelajar yang juga anak yatim dan miskin, malah kebanyakannya tidak mampu menjelaskan yuran walaupun RM100 sahaja.


ABDUL Rahman menunjukkan siling asrama yang runtuh dan tidak mampu dibaiki.

“Lebih mendukacitakan apabila ada penjaga tidak pernah menjenguk anak mereka kerana kurang berkemampuan. Insya-Allah selagi mereka di sini, kami jaga mereka,” katanya, semalam.

Ab Rahman berkata, ketika awal pembukaan, ada lebih 100 pelajar yatim dan miskin berusia lapan hingga 21 tahun melapor diri namun kini hanya tinggal 23. Pusat tahfiz ini turut berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Bagi mereka yang prihatin boleh menghulurkan bantuan ke akaun Bank Islam 111081000878.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 5:22 AM