Skip this ad x
ANGGOTA polis mengiringi empat tertuduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif


EMPAT lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Pak Su' sejak dua tahun lalu.

Tertuduh, Johari Ariffin, 35, atau ‘Pak Su’ dari Jitra, Kedah; Rosidi Aziz, 35 dari Gong Kapas, Terengganu; Norazif Ahmad, 37, dari Jitra; dan Shahadan Salim, 38, dari Alor Setar, Kedah, dibawa ke mahkamah kira-kira 9 pagi sambil dikawal ketat oleh anggota polis.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Pak Su' bermula pada 1 Januari 2015 hingga 30 Ogos lalu.

Oleh hal demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun.

Kesemua tertuduh mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah selepas kertas dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Pendakwaan dilakukan oleh Mohd Izhanudin Alias manakala tertuduh, Johari, Rosidi dan Shahadan diwakili peguam Jay Moy Wei Jiun dan Norazif pula diwakili peguam Faizal Rahman.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 26 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 1:06 PM