Harjinder didakwa di Mahkamah Sesyen, dengan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,500. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


SARJAN polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas tiga tuduhan menerima rasuah membabitkan RM6,500 dua tahun lalu.

Tertuduh, Harjinder Singh Saudagar Singh, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai Sarjan Pentadbiran Balai di Balai Polis Kota Tinggi didakwa menerima suapan berjumlah RM4,000 daripada seorang penjual mercun sebagai dorongan melepaskan dua pekerjanya yang disyaki menjual mercun dan bunga api.

Perbuatan itu dilakukan di Balai Polis Kota Tinggi, kira-kira 10 malam, 26 Jun 2015.

Manakala, bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu didakwa menerima rasuah RM2,500 daripada individu yang sama bagi tidak mengambil tindakan ke atas perniagaan menjual mercun dan bunga api milik lelaki itu.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di No 2, Jalan Kota Kecil, Kota Tinggi, kira-kira 3.20 pagi, 17 Julai 2015 dan di sebuah restoran di Jalan Mangga 1, Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, pada 10.30 malam, 18 Julai 2015.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia menanggung tiga anak yang masih belajar dan isterinya yang tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam masih berkhidmat dengan PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 1:30 PM