X
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad. FOTO  Azhar Ramli
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad. FOTO Azhar Ramli
Nor Farhani Che Ad


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantah penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara yang dilihat tidak mempunyai keperluan dalam menyelesaikan isu berkaitan integriti dan hak asasi manusia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, kerajaan seharusnya menumpukan pada penambahbaikan dalam memperkukuhkan agensi sedia ada dari sudut perundangan dan keanggotaan.

“Kita melihat perkara ini adalah satu perkara yang tidak perlu kerana apabila kita nak mewujudkan satu jabatan baru, maka ia akan membabitkan penambahan peruntukan dan kakitangan.

"Kerajaan seharusnya melihat dari sudut kebajikan terutamanya kebajikan agensi penguat kuasa," katanya pada sidang media Program Ikrar Bebas Rasuah Agensi Awam dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah Darul Aman sempena Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR'17) di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low berhubung Bahagian Integriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri dinaik taraf sebagai jabatan penuh.

Dzulkifli berkata, kewujudan jabatan baru itu akan menyebabkan berlakunya pertindihan tugas di antara agensi yang sedia ada.

"Kita sudah ada SPRM, Institut Integriti Malaysia (IIM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) dan banyak dah agensi.

"Ini adalah perkara yang perlu dilihat secara serius oleh kerajaan, bukan dengan menubuhkan satu jabatan baru yang akan membabitkan kos dengan penambahan anggota sedangkan kerja yang akan dibuat lebih kurang sama," katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan peruntukan yang digunakan bagi jabatan baru itu digunakan bagi penambahan keanggotaan SPRM seperti yang dijanjikan oleh kerajaan sebelum ini.

"Kita hanya ada anggota seramai 3,100 orang saja seluruh negara. Kerajaan sudah menjanjikan pada 2008 untuk meningkatkan keanggotaan SPRM sebanyak 5,000 orang.

"Tapi disebabkan kekangan kewangan yang ada sepatutnya sehingga 2017 kita boleh rekrut lebih kurang 750 anggota tetapi kita hanya boleh dapat merekrut sebanyak 490 saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 7:55 PM