Premis judi dalam talian dan rumah urut yang diserbu. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin

POLIS menahan 15 individu termasuk 10 wanita warga asing hasil serbuan di premis judi dalam talian dan rumah urut di Dataran Mentari, Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, semua suspek ditahan menerusi Op Dadu dan Op Noda dilaksanakan bermula 5.50 petang.

Katanya, seramai 11 pegawai dan anggota dikerahkan menyerbu premis terbabit hasil risikan dilakukan berhubung kegiatan judi dalam talian dan pelacuran di dua premis terbabit.

"Serbuan pertama dilakukan di premis judi dalam talian dan kami menahan seorang lelaki disyaki penjaga premis bersama empat pelanggan dan tiga daripadanya adalah wanita warga asing.

"Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM250 dan 22 set komputer digunakan bagi berjudi.

"Serbuan kedua dilakukan di rumah urut, di mana kami menahan dua lelaki disyaki penjaga premis, seorang pelanggan lelaki dan tujuh wanita warga Vietnam dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran berikutan penemuan kondom di beberapa bilik yang disediakan di premis itu," katanya ketika ditemui di lokasi.

Katanya, semua yang ditahan berusia 20 hingga 50-an dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 9:31 PM