Cebisan mayat dihantar ke hospital untuk dianalisis.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


CEBISAN kaki, tangan kanan dan kepala dipercayai milik Bentayan Ilah, 31, yang disambar buaya di Sungai Kuala Besar, Pusa di Betong ditemui di beberapa lokasi di sungai berkenaan, hari ini.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui cebisan itu antara 1 tengah hari hingga 3 petang hari ini di tepi sungai yang terletak 20 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Betong, Hendry Jugah berkata, pasukan SAR menemui semua anggota badan mangsa terapung di tepi sungai kira-kira 20 kilometer dari lokasi dia dilaporkan disambar buaya.

Menurutnya, semua anggota badan yang ditemui itu dibawa ke Hospital Betong untuk dianalisis.

"Pasukan bomba juga akan mengadakan perbincangan dengan ahli keluarga dan penduduk kampung sama ada akan meneruskan operasi SAR atau menghentikannya. Namun masih ada sebahagian lagi anggota badan yang belum ditemui.

"Bomba juga masih menunggu keputusan makmal bagi mendapatkan kepastian sebahagian usus yang ditemui Isnin lalu adalah usus manusia atau haiwan," katanya, hari ini.

Ahad lalu, Bentayan bersama sepupunya berusia 31 tahun menangkap ikan di sungai berkenaan sebelum dia disambar buaya kira-kira 3.30 petang.

Mangsa dilihat menjerit meminta pertolongan namun sang bedal terus menariknya ke tengah sungai dan hilang dari pandangan tidak lama selepas itu.

Isnin lalu, pasukan SAR menemui cebisan usus di kawasan pencarian dipercayai milik mangsa sebelum diserahkan kepada hospital untuk dianalisis.

Operasi SAR juga turut disertai kira-kira 100 penduduk kampung dengan menggunakan 20 bot bergerak ke kawasan sungai untuk mengesan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 5:03 PM