Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

LELAKI yang video pergaduhannya dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tular di laman sosial, direman selama tiga hari sehingga Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 dan 506 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu Grab Car itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, jam 6.30 petang, semalam.

Lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan berhubung video pergaduhannya dengan penguat kuasa yang tular di media sosial.

Kelmarin, polis menerima laporan daripada penguat kuasa DBKL berhubung kejadian yang berlaku di Taman Segar, Cheras.

Dalam kejadian jam 12.46 tengah hari itu, anggota terbabit dengan rakan setugasnya bersama dua lelaki dari syarikat yang dilantik menjalankan operasi kapit tayar di kawasan taman berkenaan.

Anggota terbabit mengapit tayar sebuah Perodua Myvi kerana melakukan kesalahan meletakkan kenderaan di luar petak.

Tidak lama kemudian, anggota terbabit menerima arahan daripada Pusat Panggilan DBKL memaklumkan supaya pergi ke lokasi itu semula untuk membuka kapit tayar kerana suspek ingin membayar denda.

Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham antara mereka yang mencetuskan pertengkaran dan tolak menolak.

Pergaduhan itu dirakam dan rakaman berdurasi kira-kira lima minit itu tular di media sosial.

Berita berkaitan:

Polis dah tahan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 5:50 PM