PEGAWAI Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Norkartini Harkhim Jasmi memberi taklimat kepada pentadbir sekolah agam serta maahad tahfiz berdaftar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi


JABATAN Agama Islam Kedah (JAIK) akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula tahap keselamatan sekolah agama dan pusat tahfiz di negeri ini termasuk menyelaraskan kurikulum.

Pengarahnya, Datuk Abd Rahman Ismail berkata, setakat ini 137 sekolah agama dan pusat tahfiz sudah berdaftar manakala 18 lagi masih belum berdaftar.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu akan diadakan secara kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menilai semula aspek keselamatan di bangunan milik sekolah terbabit jika berlaku sebarang keadaan tidak diingini.

“Kerajaan negeri memandang serius selepas berlaku kebakaran di pusat tahfiz baru-baru ini di mana JAIK akan mengkaji semula semua sekolah agama yang didaftarkan itu dengan memasukkan syarat baru berhubung aspek keselamatan dikenakan bagi kelulusan lesen.

“Melalui syarat baru itu, JBPM harus datang ke sekolah berkenaan bagi menilai aspek keselamatan yang mereka ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Taklimat Keselamatan Kebakaran kepada pentadbir sekolah agama dan maahad tahfiz di Alor Setar, hari ini.

Abd Rahman berkata, jika aspek keselamatan tidak memenuhi kriteria, pihaknya akan minta mereka ikuti saranan bomba namun tidaklah sampai ditarik balik lesen itu.

“Selain itu, jawatankuas ini juga akan menyelaraskan semula kurikulum yang diajar di semua sekolah agama dan maahad tahfiz bagi memastikan pelajarnya mempunyai sijil yang diiktiraf.

“Setakat ini hanya 18 sekolah agama dan pusat tahfiz di Kedah yang masih belum berdaftar dengan kerajaan negeri, sekali gus beroperasi secarapersendirian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 9:56 PM