Zulkiple (kiri) menyampaikan piala pusingan kepada Sarjan Mohamad Nazry Jasman mewakili Pasukan 10 Briged Para Batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja yang menjadi juara UKST TD.
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Pasukan 10 Briged Para Batalion Ke-9 Rajimen Askar Melayu Diraja (RAMD), dari Kem Terendak, Melaka membuktikan mereka adalah seksyen tempur terbaik dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) apabila menjuarai pertandingan Ujian Kemahiran Seksyen Tempur Tentera Darat (UKST TD) yang berakhir, semalam.

Ujian selama enam hari bermula 23 September lalu diadakan di Kawasan Am Sungai Siput Utara dengan majlis penutup diadakan di lapang sasar Kem Syed Putra, Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja, semalam disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Keseluruhan seramai 140 peserta yang mewakili keseluruhan 14 Briged dalam TDM mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang membabitkan tiga disiplin iaitu ketahanan fizikal, taktik dan teknik peperangan serta ujian pengendalian senjata dan menembak.

Zulkiple berkata, ujian itu adalah kali kedua di mana pertama kali diadakan pada 2015 yang bertujuan menilai keupayaan dan keberkesanan latihan yang dibuat formasi Briged melalui pasukan masing-masing secara menyeluruh.

Menurutnya, UKST TD kali ini mempunyai kelainan dengan seksyen tempur yang menyertainya dipilih secara rambang.

“Pertandingan membabitkan setiap Briged yang dipilih satu seksyen secara rambang untuk dinilai keberkesanan latihan yang dijalankan Briged berkenaan selama setahun.

“Dengan cara ini (rambang) kita dapat menentukan latihan dibuat setiap pasukan sepanjang tahun adalah secara menyeluruh, kalau hanya tumpu pada seksyen tertentu saja mungkin tidak dapat gambaran sebenar,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup UKST TD 2017, semalam.

Beliau berkata, secara keseluruhan, pada pertandingan kali ini pencapaian ditunjukkan adalah tinggi dan pihaknya merancang mengadakan ujian ini secara tahunan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 5:58 AM