SUSPEK yang ditahan selepas cuba meragut warga asing di pintu masuk kuil di Batu Caves, kelmarin.
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Dikurung di dalam pagar untuk tontonan ramai. Itu balasan diterima seorang lelaki yang ditahan ketika cuba meragut pasangan pelancong di pintu masuk kuil Batu Caves, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, suspek ditangkap orang awam yang turut bertindak membelasahnya sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, suspek berusia 22 tahun itu dikatakan cuba meragut pasangan pelancong warga asing yang berada di pintu masuk kuil di Batu Caves.

“Tindakan lelaki itu disedari orang awam sebelum dia diberkas.

“Polis yang tiba kemudian menahan suspek dan membawanya ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ali berkata, pihaknya turut merampas motosikal Yamaha LC dipercayai digunakan suspek.

“Semakan mendapati motosikal berkenaan kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur,” katanya.

Video kejadian itu turut tular di Facebook (FB) yang menunjukkan lelaki berkenaan ditahan di dalam pagar berhampiran tiang stesen jana kuasa elektrik berhampiran lokasi kejadian.

Difahamkan lelaki terbabit sempat dibelasah orang awam sebelum ditahan di dalam pagar itu.

Di dalam video berdurasi 33 saat itu menunjukkan lelaki terbabit yang tidak memakai baju dan berseluar warna hitam dimarahi orang awam sebelum dia dilihat cuba menghubungi seseorang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 6:14 AM