LEMBU sado, Sani yang berusia 3 tahun mempunyai berat 900-1, 200 Kg. FOTO Aziah Azmee
Hamizah Badiran


SUASANA santai yang mesra keluarga ditampilkan pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) dan Festival Makanan Malaysia (MFF) 2017 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, bermula semalam hingga Ahad ini.

Pengunjung Mohd Harisan Samad, 42, dari Tangkak, Johor, berkata, suasana santai seperti percutian hujung minggu boleh menjadi tarikan utama buat orang ramai untuk datang bersama anak-anak ke program berkenaan.

"Seperti di gerai pameran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia ini, mereka mengadakan pelbagai permainan termasuk kuiz menarik untuk anak-anak belajar mengenai haiwan.

"Mereka juga ada bawakan beberapa haiwan yang jarang dilihat seperti baka kambing dan bebiri seperti Savannah, Malin, Barbados Blackbelly, African Dwarf dan sebagainya.

"Kebanyakan mereka yang duduk dan membesar di kawasan bandar mungkin tidak mengenali haiwan ternakan ini, dan ia adalah peluang terbaik buat mereka terutamanya golongan muda untuk mendekatinya kerana haiwan yang dipamerkan turut boleh dipegang dan dibelai," katanya yang hadir bersama isteri, Rosnah Tumpang, 31, dan anaknya Muhammad Ariq Rizqi, 10.


AMALINA Amat Kaulan memberi makanan kepada ayam baka Pekin. FOTO Asyraf Hamzah

Bagi peminat ayam hiasan, Persatuan Unggas Hiasan Malaysia (MOPA) mempamerkan pelbagai jenis ayam hiasan berkualiti dan istimewa seperti baka ayam Pekin bersaiz kerdil dan berbulu lebat yang berasal dari China.

Jualan produk ternakan dan ‘petting zoo’ yang menempatkan arnab, ayam, itik dan sebagainya turut disediakan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak merasai sendiri pengalaman bermesra bersama haiwan kesayangan.

Lembu sado baka Droughtmaster Cross dari Australia diberi nama Sani berusia tiga tahun yang mempunyai berat sekitar 900 hingga 1,200 kilogram juga boleh disaksikan di HPPNK 2017 ini.


PENGUNJUNG melihat pelbagai spesis unggas dan arnab. FOTO Asyraf Hamzah

HPPNK dan MFF 2017 menjanjikan pelbagai lagi tarikan termasuk jualan hasil pertanian segar, produk perikanan, juadah makanan popular, teknologi pertanian dan pameran pelancongan.

Program ini terbuka kepada orang ramai dengan kemasukan adalah percuma, dan bukan hanya terhad kepada mereka yang berada di dalam bidang pertanian sahaja.

Bertemakan ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita,’ HPPNK 2017 adalah satu platform untuk menghargai dan meraikan mereka yang terbabit dalam penyediaan makanan di semua peringkat di samping menonjolkan teknologi serta inovasi yang digunakan dalam industri makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 3:59 PM
Skip this ad x