Anggota APM Muallim turun ke dalam kumbahan najis sedalam enam meter untuk menyelamatkan anak kucing. FOTO ihsan APM
Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Muallim terpaksa turun ke dalam lubang kumbahan najis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Slim River sedalam enam meter untuk menyelamatkan seekor anak kucing pada 6 petang hari ini.

Pihak APM menerima panggilan daripada pengawal keselamatan pada 5.55 petang memaklumkan seekor anak kucing terperangkap dalam lubang kumbahan najis.

Sepasukan APM terdiri empat anggota diketuai oleh Kapten (PA) Norhisyam Abdullah bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan anak kucing berwarna putih yang dalam kesejukan akibat hujan lebat.

Norhisyam berkata, pihak APM menggunakan teknik turun melalui tebing ke dalam lubang kumbahan itu bagi menyelamatkan haiwan berkenaan.

"Anggota APM mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan anak kucing itu dan terpaksa turun dengan berhati-hati kerana permukaan dinding kumbahan yang licin serta bau yang kurang menyenangkan.

"Anak kucing yang basah kuyup dan ketakutan itu berjaya diselamatkan serta dibawa balik ke pejabat operasi untuk dibersihkan," katanya.

Beliau berkata, operasi tamat jam 6.20 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 9:55 PM