KERATAN laporan portal berita Harian Metro, semalam.
Ramli Ibrahim


PEMANDU treler muatan beras berusia 31 tahun terbabit yang dalam maut empat beranak di KM52 Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, semalam, ada 18 rekod saman pelbagai kesalahan lalu lintas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintenden Abdullah Daud, berkata pemeriksaan mendapati saman itu diperoleh pemandu treler itu sejak beberapa tahun lalu.

"Kita juga menjalankan ujian air kencing terhadap pemandu itu dan mendapati ia negatif.

"Pemandu itu ditahan semalaman di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) dan dibebaskan hari ini dengan seorang penjamin selepas keterangannya diambil," katanya.

Empat beranak maut apabila Proton Wira dinaiki mereka bertembung Treler ketika dalam perjalanan dari Gua Musang-Kuala Krai, pada kira-kira 8 pagi semalam.

Kemalangan itu mengorbankan Zainuddin Anuar, 30; isteri, Raizuamira Daud, 31; anak sulung mereka, Nur Annisa Sofea, 2, dan bayi lelaki 13 hari, Zayyan Nazreel.

Difahamkan, mereka sekeluarga dalam perjalanan untuk pulang ke Kampung Tok Derpah, Tok Sangkut, Pasir Mas untuk berpantang.

Abdullah berkata, mengikut siasatan polis, kejadian dipercayai berpunca daripada treler dari Kuala Krai ke Gua Musang hilang kawalan.

Katanya, treler itu kemudian memasuki laluan bertentangan dan bertembung kereta terbabit.

"Akibat kemalangan itu kereta dinaiki sekeluarga itu terperosok di bawah treler.

“Keadaan itu mengakibatkan semua mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Pesanan terakhir

Empat beranak maut

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 4:52 PM