Keadaan rumah  yang musnah dalam kebakaran di Kampung Permatang Tengah, Jalan Pantai Merdeka, Sungai Petani dipercayai dibakar oleh pemiliknya seorang penagih. FOTO Omar Osman
Keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Permatang Tengah, Jalan Pantai Merdeka, Sungai Petani dipercayai dibakar oleh pemiliknya seorang penagih. FOTO Omar Osman
Omar Osman

LELAKI dipercayai penagih dadah berusia 30-an membakar rumahnya sebelum melarikan diri dalam kejadian di Kampung Permatang Tengah, Jalan Pantai Merdeka, Sungai Petani hari ini.

Kejadian berlaku jam 5.20 petang membabitkan sebuah rumah papan didiami lelaki itu yang bertindak melarikan diri sebelum kebakaran itu.

Menurut saksi yang enggan dikenali, ketika kejadian dia berada di dapur rumahnya dan terkejut melihat api dari ruang tamu rumah lelaki itu lalu bergegas keluar dan menjerit meminta tolong daripada jiran berdekatan.

Katanya, dalam beberapa minit sahaja api marak dan menyambar keseluruhan rumah itu sebelum bomba tiba tidak lama kemudian, namun dia tidak nampak kelibat lelaki itu.

"Tetapi saya dimaklumkan ada jiran melihat dia bergegas meninggalkan rumah itu sebelum terbakar.

" Sebelum ini rumah berkenaan didiami lelaki itu bersama datuknya, namun kini dia tinggal sendirian.

"Puncanya kerana dia memukul datuknya beberapa bulan lalu hingga cedera menyebabkan mangsa berpindah ke tempat lain.

"Ini bukan kali pertama, lelaki itu sebelum ini pernah membakar sebuah motosikal di rumah itu tetapi api sempat dipadam. Kali ini habis semua terbakar, " katanya ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penguasa Bomba II, Mohamad Hafhid Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.28 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama sebuah jentera dan ambulans EMRS serta tujuh anggota.

Katanya, sebuah jentera dari Balai Kuala Muda, Kepala Batas dan empat anggota serta sebuah jentera Bomba Sukarela turut membantu operasi memadam kebakaran itu.

"Sebaik tiba di lokasi didapati kebakaran membabitkan rumah papan dan api sedang marak,

tindakan diambil bagi memadam kebakaran dan api dapat dikawal tiga minit kemudian.

" Api dipadamkan sepenuhnya jam 6 petang dan tiada mangsa di dalam rumah terbabit.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam saisatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 2:28 AM