ARSIAN hanya mampu terlantar akibat menghidap barah buah pinggang tahap empat.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: “Selain pening, suami tidak menunjukkan tanda ketara mengalami barah buah pinggang tahap empat namun doktor mengesahkan suami yang juga bekas pemandu lori berpeluang tipis untuk sembuh kerana sel kansernya merebak ke paru-paru dan tulang belakang,” kata Airen Suradi, 37, isteri kepada pesakit kanser, Arsian Ariffin, 40.

Arsian disahkan menghidap kanser buah pinggang dan kini hanya terlantar di rumah mereka di Taman Daya, di sini, sejak Mei lalu.

Airen berkata, suaminya mengalami pening hingga berhenti kerja November lalu mengakibatkan keluarganya bergantung sepenuhnya kepada simpanan keluarga.

“Bagaimanapun hasil laporan perubatan Januari lalu doktor mengesahkan suami saya mengalami barah tahap empat.

“Sebelum ini, berat badannya adalah 67 kilogram namun kini dia susut 20 kilogram kerana tiada selera makan dan kehilangan banyak zat dalam badan,” katanya.

Airen yang berasal dari Indonesia tetapi mendapat taraf penduduk tetap berkata, suaminya tidak dibenarkan menjalani rawatan kimoterapi berikutan tubuhnya terlalu lemah.

Menurutnya, dia menjaga suaminya sepanjang masa selain menjaga anak tunggal mereka, Muhammad Syafiq, lima tahun.

Katanya, setiap kali suami dimasukkan ke hospital dia mendapatkan bantuan kenalan untuk menjaga Muhammad Syafiq kerana perlu menemani suami di hospital.

“Suami juga mengalami kekurangan darah dan buat masa ini dia bergantung sepenuhnya kepada susu khas disyorkan doktor.

“Kos bulanan yang kami tanggung untuk suami melebihi RM1,000 termasuk pembelian susu dan lampin pakai buang.

“Simpanan keluarga hanya tinggal sedikit dan buat masa ini kami menggunakan wang disedekahkan keluarga dan rakan,” katanya.

Berikutan itu, Airen merayu orang ramai menyalurkan sumbangan ke akaun RHB 10129160047437 bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

“Kami sudah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (Maij) namun difahamkan ia masih dalam proses.

“Permohonan termasuktuntutan faedah daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial Pekerja (PERKESO) kerana ketika mula-mula suami menghidap penyakit itu, dia masih bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 5:50 AM