Antara PATI warga Myanmar yang ditahan. FOTO ihsan Jabatan Imigresen Kelantan
Siti Nor Hidayatidayu Razali


LIMA pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba menyeludup keluar ke Thailand melalui Sungai Golok, Rantau Panjang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan, hari ini.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 34 tahun ditahan di Pasir Pekan, Tumpat pada 5 pagi ketika dalam perjalanan ke Rantau Panjang.

Seorang lelaki tempatan yang memandu Honda Accord berusia 45 tahun turut ditahan.

Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, tangkapan itu dilakukan hasil risikan yang pihaknya dengan bantuan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

"Selepas mendapat maklumat, kita mengesan sebuah kereta dari arah Kampung Kutan menghala Pasir Pekan sebelum menahan kenderaan itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati, kereta dipandu lelaki tempatan membawa lima lelaki warga asing dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Lima warga Myanmar itu ditahan di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen dan lelaki warga tempatan ditahan sementara di Pejabat Imigresen Telipot untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, pihaknya turut menyiasat kes berkenaan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 4:02 PM