RUMAH tidak berpenghuni di Jalan Tali Air Sembilan yang terbakar.
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: “Saya sedih dan terkilan kerana rumah berusia 40 tahun itu hasil tangan arwah ayah dan kini ia lenyap selama-lamanya dalam kebakaran,” kata tukang kayu Mohd Shamsudin Maniran, 52.

Kelmarin, dua kebakaran membabitkan dua rumah berlaku di kawasan berasingan di sekitar pekan ini.

Dalam kejadian pertama jam 7.20 malam, rumah milik Shamsudin yang terletak di Kampung Desa Warisan, Pasir Panjang musnah 70 peratus dan hampir keseluruhan barangan miliknya termasuk alat pertukangan hangus terbakar.

Shamsudin ketika dihubungi berkata, ketika kejadian, dia menunaikan solat Maghrib di tingkat bawah kediamannya.

“Sebelum sempat saya menghabiskan rakaat terakhir, mata saya melirik ke bilik tengah di tingkat atas dan mendapati api mulai marak dan menyambar bahagian bilik lain.

“Tanpa berfikir panjang, saya menghabiskan solat dan bergegas keluar tanpa sempat menyelamatkan barangan berharga termasuk dokumen peribadi,” katanya yang mendakwa kerugian mencecah RM60,000.

Dia yang masih bujang berkata, dia terkilan kerana rumah berkenaan meninggalkan seribu satu kenangan manis terutama sewaktu bersama arwah ayah dan ibunya.

“Kediaman itu dibina pada 1977 dan setelah ayah meninggal dunia, saya diberi amanah untuk menjaga dan memulihara rumah itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan Mohd Khairul Anuar Abu Bakar berkata, 16 anggota dengan bantuan dari BBP Sungai Besar dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati api marak membakar rumah yang diperbuat daripada kayu dan kami mengambil masa 40 minit bagi memadam kebakaran,” katanya.


Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi (dua dari kanan) menziarahi Mohd Shamsudin (dua dari kiri) di Kampung Desa Warisan, semalam.

Sementara itu, kejadian kedua di Jalan Tali Air Sembilan, Pasir Panjang membabitkan sebuah rumah tidak berpenghuni yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran jam 1.12 pagi.

Menurut Khairul Anuar, 30 anggota bomba dengan bantuan BBP Sungai Besar dan BBP Tanjung Karang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kami mengambil masa sejam untuk ke lokasi berikutan keadaan jalan sempit serta lokasi kebakaran jauh dari balai bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 9:32 AM