Pengawal peribadi direman bantu siasatan kes hina tugas polis. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


PENGAWAL peribadi yang membuat kenyataan di Facebook dengan menghina tugas polis yang mendedahkan gambar suspek, direman empat hari sehingga Khamis ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu Noradila Ab Latiff bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di depan parkir flat di Bandar Damai Perdana, Cheras, 6 petang semalam.

Suspek sebelum itu ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bersama Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya turut merampas sepucuk pistol jenis CZ dan dua kelopak peluru yang setiap satu mengandungi 10 butir peluru serta sebuah telefon bimbit Oppo F1S.

Katanya, suspek memuat naik status menghina dan memaki polis berikutan tindakan polis mendedahkan wajah 30 individu yang dipercayai terbabit dalam jenayah berat seperti bunuh, cubaan bunuh dan samun hingga mendatangkan kecederaan di Terengganu sejak 2007, pada Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 12:22 PM