Mejar Noor Mohd Syahidami Mohammad Saaid (tengah) mengaku tidak bersalah atas dakwaan minta suapan. FOTO Ihsan NTV7
Iskandar Shah Mohamed

PEGAWAI Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM1,500 sebagai upah bagi setiap kursus sukan yang dijalankan olehnya, tahun lalu.

Tertuduh, Noor Mohd Syahidami Mohammad Saaid, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan bersama dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas sebagai setiausaha di Lembaga Sukan TUDM didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM1,500 daripada Roslizawati Mustaffa Kamal sebagai upah bagi setiap kursus yang dijalankan oleh beliau dengan alasan bahawa wang itu untuk kegunaan lembaga sukan berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan di depan sebuah universiti di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, 6.49 petang, 14 September tahun lalu.

Justeru, Noor Mohd Syahidami melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammed Heikal Ismail yang mengendalikan kes menawarkan kos jaminan tertuduh berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin.

Namun, tertuduh yang diwakili peguam Harjinder Singh, memohon pengurangan kerana memberi kerjasama penuh dengan SPRM bagi membantu siasatan kes itu sejak ditahan, September tahun lalu.

“Anak guam saya yang berkhidmat selama 20 tahun itu juga mempunyai tanggungan isteri dan tiga anak berusia empat tahun hingga 11 tahun.

“Kos jaminan bertujuan memastikan kehadiran ke mahkamah dan bukannya sebagai hukuman,” katanya.

Rozilah kemudian membenarkan kos jaminan RM7,000 dan tertuduh perlu melaporkan diri pejabat SPRM Selangor setiap bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 12:45 PM