Shamsul Munir Safini


BEKAS pengawal keselamatan antara empat lelaki yang diberkas polis pada 18 September lalu selepas memecah masuk makmal dan bilik guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Murni di Sungai Dua, Butterworth.

Dalam tiga kejadian berasingan antara 31 Julai sehingga 18 Ogos itu, kesemua mereka termasuk dua remaja dan seorang warga asing melarikan komputer riba dan beberapa peralatan komputer di makmal dan bilik guru sekolah bernilai RM70,000.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Abd Aziz Daud berkata, kesemua suspek yang juga 'Geng Laptop' ini memecah masuk premis berkenaan hasil maklumat seorang daripada mereka yang juga bekas pengawal keselamatan sekolah itu berusia 23 tahun.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat pihak sekolah memaklumkan bahawa beberapa komputer riba dan barangan komputer di sekolah berkenaan hilang dipercayai dicuri.

Menurutnya, hasil maklumat dan risikan, pihaknya berjaya menahan tiga lelaki berusia 16,17 dan 23 tahun sebelum menyerbu sebuah rumah lelaki warga Bangladesh di sini.

Katanya, hasil serbuan itu, pihaknya menemui 26 komputer riba, lima unit monitor komputer dan beberapa barangan komputer lain di rumah warga asing berusia 50 tahun berkenaan.

Abd Aziz berkata, hasil soal siasat, lelaki warga asing berkenaan mengaku membeli kesemua komputer riba daripada tiga suspek yang ditahan.

Menurutnya, tiga suspek lelaki itu juga mengaku memecah masuk bilik guru sekolah itu sebanyak tiga kali dan melakukannya pada waktu malam.

Kesemua barangan itu kemudian dijual kepada lelaki warga asing berkenaan.

"Kesemua mereka direman 14 hari sehingga semalam dan akan dituduh.

"Kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 3:24 PM
SEBAHAGIAN daripada 26 unit komputer riba, mesin pencetak serta beberapa komponen komputer yang berjaya dirampas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Butterworth pada 18 September lalu. FOTO Amir Irsyad Omar