X
Nur Hakiki keluar dari Mahkamah Majistret selepas diperintah membayar denda RM600 kerana membuat laporan polis palsu. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Nur Hakiki keluar dari Mahkamah Majistret selepas diperintah membayar denda RM600 kerana membuat laporan polis palsu. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin


PEMBANTU perniagaan didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan membuat laporan polis palsu.

Nur Hakiki Abd Hakim, 23, mengaku bersalah di hadapan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia membuat laporan palsu di Balai Polis Kandang, pada 4.08 pagi pada 24 Mac lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan palsu di Pejabat Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Polis mengesan keterangan tertuduh meragukan dan apabila disoal siasat lebih lanjut, dia mengaku laporan diragut itu palsu semata-mata mahu mengelak membayar denda kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat kad pengenalan gantian.

Terdahulu, ketika prosiding berjalan, tertuduh yang diwakili pelatih dalam kamar (PDK) merayu dikenakan hukuman ringan kerana masih muda.

“Tertuduh hanya berkerja sebagai pembantu perniagaan dengan pendapatan RM600 sebulan, malah tinggal serta menanggung seorang ibu yang tidak berkerja. Tertuduh juga hanya mempunyai wang RM400 dan tidak mampu membayar denda lebih dari itu," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria mencadangkan hukuman setimpal atas alasan kejadian laporan palsu banyak dibuat di negeri ini semata-mata mahu mengelak dari membayar denda kepada JPN akibat kehilangan kad pengenalan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norina memerintahkan tertuduh membayar denda RM600 atau berdepan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal bayar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 4:58 PM