MUHAMMAD Faris melihat keadaan Che Siah yang terlantar akibat serangan angin ahmar.
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


Butterworth: Kasih seorang anak terhadap ibunya yang terlantar akibat penyakit angin ahmar sejak beberapa tahun lalu menyebabkan dia nekad berhenti kerja asalkan wanita mulia itu dapat diuruskan dengan baik.

Azizah Ahmad, 52, nekad mengetepikan segala-galanya termasuk mengorbankan masa dan tenaganya kerana mahu memberi perhatian penuh terhadap ibunya, Che Siah Mat, 92, yang kini tidak berdaya berikutan keadaan kesihatan tidak menentu.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang mengambil keputusan untuk menjaga ibunya dan menggunakan wang pampasan diperolehnya untuk menyara kehidupan mereka dua beranak.

“Sebelum keadaan kesihatan ibu menjadi serius, saya ada menjalankan perniagaan menjual makanan secara kecil-kecilan, tetapi sekarang terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana penyakit ibu tidak menentu dan menyebabkan saya tidak dapat fokus berniaga.

“Ibu memerlukan penjagaan rapi kerana dia sudah tidak mampu berjalan dan segala-galanya perlu diuruskan dengan teliti memandangkan dia terlalu uzur,” katanya ketika menerima kunjungan Persatuan Belia Mutiara Jaya di rumahnya di Kampung Setol, Telok Air Tawar, kelmarin.

Azizah berkata, selain dia, abang sulungnya yang menetap di Tanah Liat, Bukit Mertajam turut membantu menguruskan ibu sebelum pergi ke tempat kerja.

“Jika ada masa, abang kerap datang ke sini biarpun rumahnya agak jauh untuk membantu saya menguruskan ibu,” katanya

Azizah berkata, apa yang menjadi keperluannya sekarang adalah lampin pakai buang dan susu untuk ibunya tetapi tiada masalah dari segi makan dan minum memandangkan ada saudara-mara datang membantu.

“Bagaimanapun, kos untuk lampin pakai buang dan susu membuatkan saya susah hati kerana ia mencecah ratusan ringgit sebulan.

“Bagaimanapun, saya akan berusaha dan tidak sesekali mengeluh akan apa dialami kerana ibulah yang menjaga kami selepas ayah meninggal dunia dan jasanya tidak akan terbalas sampai akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Belia Mutiara Jaya Muhammad Faris Hussain berkata, pihaknya mengadakan lawatan bagi mengesan individu yang tinggal di sekitar Butterworth yang memerlukan bantuan khususnya bagi golongan asnaf, pesakit kronik dan terlantar.

Katanya, lawatan itu adalah tinjauan awal dalam usaha mengenal pasti golongan benar-benar memerlukan bantuan sebelum melakukan rujukan semula dan membantu mengikut keperluan sesebuah keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 6:17 AM