Mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke HQE 2 untuk rawatan lanjut. FOTO Junaidi Ladjana
Junaidi Ladjana


ANGGOTA polis yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya cedera selepas motosikal ditunggang terlanggar seekor anjing sebelum terbabas di Jalan UMS berhampiran University Apartment, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 5.40 pagi itu, koperal berusia 31 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu cedera di mulut, kaki dan badannya.

Mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) dan dilaporkan stabil.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke IPD Kota Kinabalu untuk menghadiri sesi kawad.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati anggota polis dari arah Indah Permai menuju pusat bandar raya.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba seekor anjing melintas jalan menyebabkan dia gagal membrek lalu terlanggar haiwan itu.

"Akibat itu, motosikal terbabas manakala mangsa terjatuh di tengah jalan dan cedera di mulut, kaki serta badan," katanya ketika dihubungi.

Chandra berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN166/59.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 12:50 PM