YEAP mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu terhadap tuduhan menumbuk pipi seorang bekas peguam, dua tahun lalu. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


PENIAGA kedai roti dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan menumbuk pipi bekas peguam, dua tahun lalu.

Tertuduh Yeap Suwi Kian, 66, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Tay Kiang Heong, 49, dengan menumbuk pipi kanan mangsa di restoran di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu kira-kira 1 tengah hari, 11 Ogos 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamidah Mahmood manakala tertuduh diwakili peguam Lau Teck Bee.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 November depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro pada 23 Februari lalu melaporkan mangsa kes ini dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mencabul anak perempuan Yeap.

Bekas peguam itu didakwa mencabul peniaga kedai roti berusia 34 tahun itu di kedai roti di Jalan Hamzah, Kota Bharu kira-kira 9.30 malam, 15 Julai 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 4:25 PM