WAN Abdullah (duduk, tiga kanan) minum pagi serta beramah mesra dengan penduduk ketika Program Community Policing. FOTO Danial Saad
WAN Abdullah (duduk, tiga kanan) minum pagi serta beramah mesra dengan penduduk ketika Program Community Policing. FOTO Danial Saad
Rudy Syareme Sheriffudin


PASUKAN Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 3 Pulau Pinang bakal memiliki Unit Berkuda dalam tempoh tiga tahun lagi.

Komander FRU Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, penubuhan unit berkuda bagi mendekatkan dan menyakinkan lagi masyarakat terhadap kehadiran pegawai dan anggota polis dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam selain mencegah dan membanteras jenayah.

Beliau berkata, tugas utama unit itu bukan sahaja melaksanakan Program High Profile Policing (HPP) bersama masyarakat, malah mampu menjadi ikon tarikan pelancongan kepada orang ramai khususnya dari dalam dan luar negara di negeri pelancongan seperti Pulau Pinang dan Melaka.

Katanya, persepsi masyarakat perlu diubah apabila terlihat pasukan FRU pastinya menyangka wujud suasana keganasan dan ketegangan namun ia sebenar adalah menjaga keamanan dan ketenteraman awam sekiranya berlaku rusuhan dan lain-lain.

"Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpisah tiada dan pelbagai usaha serta penambahbaikan cuba dilakukan selain kehadiran unit FRU diterima baik oleh masyarakat seperti unit lain yang melaksanakan program HPP sama ada di peringkat daerah atau kontinjen negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Program HPP di Kompleks Gerai Padang Tembak, Air Itam, Georgetown, hari ini.

Hadir sama, Komander FRU Unit 3 negeri, Superintendan Kamarulzaman Maarof.

Wan Abdullah berkata, setiap pegawai dan anggota FRU adalah anggota terlatih dan berkemahiran bukan sahaja dalam melaksanakan tugas pencegahan jenayah semata-mata, malah sebagai satu pasukan elit.

Beliau berkata, setiap pegawai dan anggota mempunyai pelbagai latar belakang kemahiran termasuk berpengalaman dalam bidang risikan, siasatan jenayah, marin, selam, perubatan dan unit berkuda serta lain-lain lagi.

Katanya, sehingga kini pasukan FRU memiliki kira-kira 2,480 pegawai dan anggota FRU di seluruh negara termasuk 330 anggota di Pulau Pinang dan tidak lama lagi, kem FRU terbaru bakal dibuka di Seberang Prai yang dilengkapi pelbagai prasarana.

"Kita berhasrat untuk mewujudkan pasukan Unit Berkuda FRU Unit 3 oleh pegawai dan anggota wanita yang akan menjalankan tugas rondaan dan risikan di kawasan tumpuan awam selain program HPP bersama masyarakat secara lebih dekat.

"Diharapkan agar hasrat dan impian ini akan terlaksana dengan jayanya dan hubungan antara masyarakat dan FRU terus utuh dan rapat bukan sahaja pada program komuniti masyarakat tetapi pelbagai acara-acara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 9:03 PM