PUSAT Kawalan Bomba di kawasan Pertak berdekatan lokasi Zulkafli (kanan) dipercayai hilang. FOTO Amrullah Abdul Karim
PUSAT Kawalan Bomba di kawasan Pertak berdekatan lokasi Zulkafli (kanan) dipercayai hilang. FOTO Amrullah Abdul Karim
Amrullah Abdul Karim


“ABANG hanya sempat pesan tolong jaga emak... selepas itu talian terputus,” kata Hassan Shaari, 57, adik kepada Zulkafli Shaari, 62, yang dilaporkan hilang selepas memancing di Kampung Pertak, Rabu lalu.

Hassan berkata, pesanan itu disampaikan Zulkafli yang menghubungi seorang lagi adiknya, Abdul Shukur, 58, menggunakan telefon bimbit pada 8 malam hari dia dilaporkan tidak pulang ke rumah.

Menurut Hassan, Abdul Shukur tidak sempat bertanyakan lokasi abangnya ketika itu kerana talian terputus.

"Dia kata tak dapat balik sebab air sungai deras.

"Dia minta tolong jaga emak sebelum talian terputus," katanya ditemui di lokasi pencarian di pusat kawalan bomba (PKB) kira-kira 19 kilometer dari Bandar Kuala Kubu Bharu.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) abangnya dilakukan bersama pasukan bomba sejak Jumaat lalu iaitu hari ketiga kehilangannya dan pada hari keempat pasukan SAR berjaya menemui motosikal milik abangnya di kawasan hutan.

Katanya, Modenas Kriss itu ditemui tujuh kilometer dari Sangka Dua iaitu lokasi carian pertama.

"Ada topi keledar diletakkan di cermin sisi dan selipar serta sabun mandi dalam bungkusan pada raga motor," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, operasi SAR yang bermula 9 pagi tadi menjangkau radius tujuh kilometer dari PKB namun sehingga 7 malam tadi mereka gagal menemui petunjuk positif.

Menurutnya, pencarian tertumpu di kawasan darat hingga jarak 200 meter ke tebing Sungai Selangor.

"Seramai 94 anggota SAR terbabit termasuk bomba, unit K9, penyelam, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Gerakan Am (PGA), sukarelawan serta ahli keluarga mangsa.

"Kita menemui lima lubuk sungai dan pasukan penyelam sudah mencari di tiga daripada lubuk itu namun tidak menemui sebarang petunjuk," katanya.

Beliau berkata, operasi ditangguhkan malam tadi dan akan disambung semula pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 10:19 PM