KERBAU ditemui mati selepas disyaki terlebih suntikan ubat pelali. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


DUA ekor kerbau yang berjaya diselamatkan selepas disumbat dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) oleh dua penjenayah ditemui mati di kandang pejabat Veterinar Seremban, pagi ini.

Pegawai Veterinar Seremban, Dr Khairil Azman Zainal Ariffin berkata, kematian haiwan terbabit dipercayai terlebih suntikan ubat pelali namun siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kematian haiwan ini hanya disedari sebaik kakitangan pejabat Veterinar tiba pada 8 pagi tadi. Kami akan melakukan bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian dua ekor kerbau ini.

"Siasatan awal mungkin kerana kerbau ini disuntik ubat pelali berlebihan, namun punca sebenar selepas 'post mortem' dilakukan petang ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan cubaan dua lelaki melarikan dua kerbau berjaya dipatahkan selepas terserempak anggota polis peronda di Jalan Rasan berhampiran Taman Happy, awal pagi kelmarin.

Haiwan terbabit disumbat dalam MPV namun dua penjenayah sempat melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan polis masih tidak menerima aduan mengenai kehilangan kerbau.

"Kita masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 3:08 PM