Tiga warga India (baju biru) ditahan kerana mengendalikan parkir haram secara parkir valet di Jalan Riong, Bangsar, semalam. FOTO Nabihah Kamal
Nabihah Kamal


TIGA warga India ditahan selepas didapati mengendalikan parkir haram secara parkir valet di Jalan Riong, Bangsar, semalam.

Tiga lelaki warga asing itu turut memakai baju 'Ask Me About Parking' (tanya saya tentang parkir) ketika menawarkan perkhidmatan itu.

Dalam operasi yang dijalankan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mendapati, tiga lelaki berkenaan meletakkan kenderaan pelanggan di atas bukit bersemak.

Bayaran dikenakan kepada pelanggan adalah RM12 bagi empat jam pertama manakala RM4 bagi setiap jam seterusnya.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya menahan tiga lelaki warga asing berusia 22 hingga 42 tahun yang turut menyalahgunakan permit pekerjaan bagi menjalankan kegiatan haram.

"Polis merampas wang tunai berjumlah RM260 dipercayai hasil kegiatan parkir haram berkenaan.

"Susulan itu, semua yang ditahan diambil tindakan mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menjalankan kegiatan parkir haram," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 7:35 PM