Nazri (kiri) bersama rakannya menunjukkan poster yang digunakan syarikat Juta Kelulut Global Resources untuk menipu pembeli rumah. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


CAIR dengan pujukan dan tawaran pakej pembinaan rumah serendah RM40,000 seunit dan siap dalam tempoh singkat menjadi punca 51 individu di daerah ini terjebak dalam kes penipuan membabitkan syarikat Juta Kelulut Global Resources (JKGR).

Difahamkan lebih 51 mangsa terdiri daripada suri rumah, pesara kerajaan, peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta menjadi mangsa penipuan syarikat terbabit apabila rumah banglo yang dijanjikan tidak menjadi kenyataan.

Malah, kebanyakan mangsa masing-masing mengalami kerugian antara RM30,000 dan RM100,000 selepas membayar sejumlah deposit dan baki bayaran berperingkat secara tunai serta melalui bank kepada syarikat itu.

Mangsa, Nazri Ali, 51, berkata, pada peringkat awal dia dan 50 individu lain terpengaruh dengan janji manis wakil syarikat itu yang membuat promosi secara besar-besaran melalui poster, taklimat dan iklan dalam media sosial.

"Malah, kami lebih teruja dan menganggap ia projek kerajaan apabila dalam poster yang ditampal di merata tempat di pulau ini dan ditular dalam laman sosial turut mencatatkan nama ahli politik tempatan yang berpengaruh.

"Kami juga tidak sedar ketika itu syarikat terbabit menimbulkan banyak masalah kepada sejumlah pembeli rumah murah yang ditawarkan rumah sama di Sabah, Selangor dan Perlis," katanya ketika ditemui selepas membawa wartawan meninjau tapak kosong di Jalan Padang Gaung, Langkawi, hari ini.

Nazri yang juga seorang peniaga berkata, dia dan rakan mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila wakil atau pengurusan JKGR sukar dihubungi dan memberi pelbagai alasan untuk membina rumah selepas bayaran penuh dilunaskan.

"Mereka (JKGR) cerdik apabila berusaha menyiapkan sebuah rumah contoh dan menggunakan rumah contoh itu untuk mengabui mata pembeli bahawa mereka mampu menyiapkan rumah seperti dijanjikan dalam tempoh tiga bulan.

"Kami masing-masing kerugian antara RM30,000 dan RM100,000, malah paling sedih ada yang menggunakan duit ganjaran pencen sebagai pegawai kerajaan dan simpanan puluhan tahun untuk membuat bayaran kepada syarikat itu dengan harapan dapat memiliki rumah," katanya.

Seorang lagi mangsa, Soleha Othman, 54, berkata, dia dan rakan mengharapkan pihak berkuasa menyiasat secara mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik syarikat yang jelas menipu orang ramai.

"Pada saya bukan setakat 188 pembeli yang buat laporan polis saja yang mengalami nasib malang akibat ditipu, malah saya yakin lebih 500 mangsa termasuk yang belum membuat laporan polis terbabit dalam kes ini.

"Sebelum ini saya sendiri adalah seorang yang amat berhati-hati untuk melabur, tapi dalam kes ini saya juga menjadi antara mangsa.... jadi sedih, geram dan kecewa sangat dengan tindakan syarikat terbabit.

"Harapan selepas ini adalah semoga ada kaedah terbaik untuk kami dapatkan semula duit yang telah dibayar kepada JKGR, selain pihak berkuasa mengenakan hukuman setimpal kepada individu yang menjalankan kerja menipu orang ramai," katanya.

Kakitangan hotel, Muhammad Zakri Jantan, 37, berkata, setiap pembeli perlu membayar deposit sebanyak RM5,000 sebelum diikuti baki bayaran antara RM30,000 dan RM50,000 yang perlu dijelaskan dalam tempoh tiga bulan.

"Memang diakui reka bentuk rumah agak menarik dengan memiliki tiga bilik tidur, balkoni, ruangan keluarga dan makan, selain garaj kereta serta dapur yang selesa... tapi habuk pun tiada," katanya.

Mereka tampil menjelaskan perkara itu berikutan tindakan polis menahan tiga suspek utama berkaitan kes penipuan jualan rumah bernilai RM6.2 juta terdiri daripada Pengarah Urusan DBI Properties Datuk Nuruliman A Rahman atau dikenali Boy Iman dan dua pemilik JKGR, semalam.

Harian Metro hari ini melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima 188 laporan polis berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan syarikat DBI Properties dan JKGR.

Berita berkaitan

Boy Iman kena tahan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 8:05 PM