Mangsa maut di tempat kejadian. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Mangsa maut di tempat kejadian. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


WARGA emas maut dirempuh dua kenderaan di Kilometer 2, Ayer Tawar di Manjung, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam, mangsa, Wong Chun Kong, 64, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kemalangan itu membabitkan mangsa yang juga pejalan kaki dengan sebuah motosikal dan Toyota Avanza.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa melintas dari arah sebuah bank di Ayer Tawar.

"Ketika mangsa melintas, sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dari arah pekan Ayer Tawar melanggarnya.

"Akibat perlanggaran itu mangsa terjatuh di atas jalan raya dan kemudian dilanggar Toyota Avanza berikutan jarak yang terlalu dekat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Hanif berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan penunggang motosikal cedera ringan di kaki dan tangan manakala pemandu kereta tidak cedera.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 1:06 PM
Digital NSTP Subscribe