Dua pegawai syarikat Juta Kelulut Global Resources direman dua hari bermula hari ini hingga esok bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pembelian rumah mampu milik di Nilai. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


DUA pegawai syarikat Juta Kelulut Global Resources direman dua hari bermula hari ini hingga esok bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pembelian rumah mampu milik di Nilai, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, reman itu diperoleh pihaknya di Mahkamah Majistret Seremban pada hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek lelaki berusia 30 dan 45 tahun disiasat mengikut Sesyen 420 Kanun Keseksaan sebaik memperdaya seorang mangsa di Nilai pada Mei 2016.

"Dalam urus niaga dijalankan, mangsa seorang lelaki berusia 30-an mendakwa ditipu menyebabkannya kerugian RM60,000," katanya.

Azrul Hisham berkata, bertindak atas laporan diterima, pihaknya menggerakkan pemburuan dan menahan kedua-dua suspek di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 3 petang kelmarin.

"Tangkapan ini adalah susulan penahanan seorang wanita berusia 40-an di Nilai yang dipercayai terbabit dalam urus niaga mereka," katanya.

Dua suspek itu dicekup bersama Pengarah Urusan DBI Properties, Boy Iman yang kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Beliau berkata, mangsa dipercayai menyerahkan wang yang diminta namun kesal apabila pembinaan rumah tidak dijalankan.

Berita berkaitan

Boy Iman kena reman dua hari

'Habuk pun tiada...'

Tolong tangkap empat lagi penipu!

Boy Iman kena tahan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 4:19 PM