Rohani (tiga, kiri) menyampaikan wang bantuan kepada penerima sambil disaksikan Che Mohamad (kiri) dan Mohd Iskandar (dua, kiri) di Jabi, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini

LEBIH 1,000 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dilatih untuk mengendalikan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) bagi melindungi mangsa keganasan rumah tangga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, setiap pegawai diminta untuk menilai segala sensitiviti yang ada bagi mengelakkan kes berat sebelah sewaktu mengeluarkan EPO.

Menurutnya, EPO berfungsi melindungi mangsa keganasan rumah tangga dalam tempoh singkat tanpa melalui prosedur mendapatkan laporan polis serta kebenaran mahkamah.

"Mangsa hanya perlu memaklumkan kepada JKM dan dua orang pegawai akan membuat penilaian segera berdasarkan aduan yang diterima itu.

"Jika mendapati mangsa memang perlukan perlindungan, EPO akan diperolehi dalam masa sekurang-kurangnya dua jam atau kurang dari 24 jam," katanya.

Rohani berkata demikian pada sidang media selepas Program Jelajah `Maghi Jupo Mato' Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Zon Timur di Jabi, Jertih, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Setiu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.

Rohani berkata, Rang Undang-undang (RUU) Keganasan Rumah Tangga 1994 (Pindaan) 2017 yang baru dipinda pada Ogos lalu adalah untuk melindungi mangsa tanpa mengira masa walaupun pada hujung minggu.

"Banyak kes pergaduhan berlaku pada hujung minggu dan mangsa selalunya perlu ambil masa lama bagi memohon perlindungan kerana mahkamah tutup pada hari cuti.

"Langkah mewujudkan EPO ini adalah hasil perbincangan bersama kementerian dengan pelbagai pihak termasuk mengambil kira makluman bekas mangsa yang pernah terbabit dengan keganasan rumah tangga," katanya.

Beliau berkata, tempoh sah laku setiap EPO yang dikeluarkan itu berkuat kuasa selama seminggu.

"Si pelaku sama ada isteri atau suami perlu keluar rumah sepanjang tempoh terbabit. Tempoh yang ditetapkan itu sangat penting untuk memberi ruang kepada si pelaku dan juga mangsa.

"Mereka dileraikan sementara sehingga mereka boleh berfikir panjang sebelum mengambil langkah seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 8:43 PM