ANAK Rohingya ketika di khemah Palang Khali berhampiran Cox's Bazar, Bangladesh.
AFP

Cox’s Bazar (Bangladesh) : Kerajaan Bangladesh memusnahkan sekurang-kurangnya 30 bot nelayan bagi menghalang kapten ataupun tekong tempatan menyeludup pelarian Rohingya dan dadah melintasi sempadan Myanmar.

Pengawal sempadan merampas kapal dan menangkap kapten, Selasa lalu, kerana menyeludup lebih 700 Muslim Rohingya melintasi sungai dari barat Rakhine di Myanmar.

Menurut pengawal sempadan seperti dilaporkan AFP, kapten bot nelayan itu ditangkap kerana memiliki 100,000 pil yaba iaitu pil perangsang haram yang popular di Bangladesh.

Katanya, lebih daripada setengah juta etnik Rohingya melarikan diri dari Rakhine sejak Ogos lalu dan kebanyakannya menggunakan bot untuk menyeberangi Sungai Naf yang membahagikan Myanmar dan Bangladesh.

“Broker ini (tukang bot) menyeludup orang,” kata pengawal sempadan kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana dia tidak dibenarkan bercakap dengan media.

“Kami diarah memusnahkan 30 bot iaitu kapal yang ditarik tangan, tidak menggunakan enjin,” katanya yang turut memberitahu, bot tidak bermotor digunakan untuk mengelak ia dikesan pihak berkuasa.

Seorang pegawai kerajaan mengesahkan 39 etnik Rohingya yang kebanyakannya tinggal di Bangladesh dipenjarakan selama enam bulan kerana ‘menguruskan’ pelarian bagi melintasi Naf.

“BGB (Pengawal Sempadan Bangladesh) melakukan kerja yang berkesan,” kata Zahid Siddique, seorang majistret tempatan dan pentadbir kerajaan.

Pemilik kapal, anak kapal dan nelayan dikesan mengenakan bayaran AS$250 (RM1,000) bagi perjalanan yang mengambil masa dua jam berbanding kebiasaannya AS$5 (RM21) untuk menyeberangi sungai berkenaan.

Bangladesh Elit dari Batalion Tindakan Rapid minggu ini dilapor menyelamatkan 20 etnik Rohingya yang diperdaya kumpulan nelayan dengan mengenakan bayaran tinggi.

Beberapa etnik Rohingya yang tiba di Shah Porir Dwip memberitahu AFP, pemilik bot menuntut mereka menyerahkan emas, permata dan wang tunai sebelum membenarkan mereka menyeberangi sungai berkenaan.

Nelayan tempatan dituduh bukan saja menyeludup manusia, malah turut membawa dadah seperti 100,000 pil yaba yang disita pengawal sempadan.

Pegawai BGB berkata, dadah campuran methamphetamine dan kafein yang popular dalam kalangan belia Bangladesh itu disembunyikan di dalam bot.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 9:45 AM