PENGASAS program i-Kayuh, Rozki Abu Samah membantu kanak-kanak autisme menaiki basikal ketika sesi terapi basikal, semalam.
Garret Dawum


Kuala Lumpur: “Pengalaman pertama mengayuh basikal sangat menyeronokkan dan mengajar saya berdikari,” kata penghidap autisme, Darren Edward, 33.

Dia antara 26 penghidap autisme dan lapan pembantu dari Institut Masalah Pembelajaran dan Autisme Malaysia (IMPIAN) yang mengikuti sesi terapi basikal anjuran Bank Rakyat yang diadakan di pekarangan institut itu.

Darren berkata, selama ini dia tidak pernah diberi peluang untuk mengikuti sesi seperti itu dan ini menjadi perkara baru buat dirinya.

“Sudah 10 bulan saya berada di institut ini dan banyak benda baru yang saya belajar. Saya memang tidak pernah mengayuh basikal.

“Saya gembira kerana ada yang prihatin dengan memberi ruang kepada kami melakukan aktiviti dalam memastikan kehidupan yang dinikmati sama seperti orang normal lain,” katanya ketika ditemui ketika sesi terapi basikal itu, di sini, semalam.


KANAK-KANAK autisme mencuba menaiki basikal.

Aktiviti terapi yang diadakan selama dua jam bermula jam 10 pagi itu adalah keprihatinan Bank Rakyat terhadap keperluan kanak-kanak autisme sempena ulang tahun ke-63 bank itu.

Naib Presiden Kanan, Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, program itu bertujuan melatih kanak-kanak autisme menggunakan deria penglihatan, pendengaran dan sentuhan dalam satu gerak kerja melalui kayuhan.

Katanya, terapi itu mampu meningkatkan dan membina keupayaan deria kanak-kanak autisme bagi membantu koordinasi serta kemahiran motor.

“Aktiviti disediakan juga memberi peluang kepada penghidap autisme untuk lebih mengenali dan meningkatkan kemahiran interaksi dalam persekitaran yang luas.

“Terapi basikal yang dilakukan dalam konsep santai di kawasan lapang adalah mudah dan pengangkutan paling ringkas serta mampu dimiliki,” katanya.

Selain itu, Bank Rakyat juga menyumbangkan empat basikal berserta topi keledar untuk terapi berterusan.

Hadir sama dalam program itu, Pengurus Perhubungan Awam dan Penjenamaan Korporat Bank Rakyat, Nizam Abu Samah dan pengasas IMPIAN, Datin Dr K Mangalaveni.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 9:50 AM