Norazam memberi taklimat keselamatan kepada pengusaha pusat tahfiz. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Khairul Najib Asarulah Khan


HANYA sebuah daripada 63 pusat tahfiz di negeri ini memiliki Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bomba.

Pada masa sama, 38 daripadanya tidak mendaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).

Itu hasil pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan sejak 25 September lalu sekali gus menggesa pihak terbabit mengambil tindakan bagi menangani perkara itu dengan segera.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, pemeriksaan dijalankan mendapati, kebanyakan pusat tahfiz tidak mempunyai sistem keselamatan kebakaran selain tidak mendaftar dengan jabatan berkaitan.

“Premis yang tidak mempunyai CCC ini memberi ancaman kepada penghuni jika berlaku tragedi.

“Setakat ini, tiga daripadanya sudah menghantar pelan bangunan kepada pihak kami sebagai proses mendapatkan perakuan bomba.

“Kemungkinan mereka tidak mengetahui proses untuk mendapatkan kelulusan berkaitan,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Aspek Keselamatan Kebakaran JBPM kepada pengusaha pusat tahfiz di negeri ini, hari ini.

Norazam berkata, beliau sudah mengarahkan setiap balai bomba yang berhampiran dengan pusat tahfiz supaya memantau dengan lebih terperinci keadaan premis berkenaan termasuk memberi khidmat nasihat.

“Pengusaha pusat tahfiz perlu mengikut arahan diberikan demi kebaikan dan keselamatan. Selain itu, JBPM negeri akan mewujudkan skuad bomba terdiri pelajar dan tenaga pengajar di semua pusat tahfiz di negeri ini.

“Mereka akan didedahkan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran berkaitan keselamatan kebakaran. Ia akan dilaksanakan November ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 5:10 PM