REMAJA perempuan membuang air besar di pintu masuk dobi di Jalan Manickavasagam. FOTO ihsan pemilik dobi
Khairul Najib Asarulah Khan


REMAJA perempuan yang membuang najis di hadapan kedai dobi dekat Lobak di Seremban, Selasa lalu dipercayai Orang Kurang Upaya (OKU).

Perkara itu dijelaskan kenalan keluarga mangsa yang memaklumkan mereka mengenali remaja terbabit ketika menetap di Rasah Jaya, di Seremban beberapa tahun lalu.

Menurutnya yang enggan dikenali , remaja itu sebelum ini belajar di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah rendah di Rasah Jaya sebelum mengikuti program yang sama di sekolah menengah di Mambau.

"Ibu remaja terbabit turut mengalami masalah yang sama dengan tingkah laku mereka seperti kurang waras namun perbuatan membuang najis di tempat awam seumpama itu belum pernah berlaku.

"Saya amat terkejut apabila membaca berita Harian Metro Khamis lalu dan kebanyakan netizan tidak mengetahui latar belakang mereka.

"Namun perbuatan tidak bermoral terbabit tidak wajar. Pihak berkaitan perlu tampil dan membantu remaja serta keluarganya kerana dikhuatiri melakukan perbuatan yang sama," katanya.

Khamis lalu, Harian Metro melaporkan remaja perempuan membuang air besar di hadapan pintu masuk premis dobi di Jalan Manickavasagam, Lobak, Seremban.

Perbuatan sebanyak tiga kali bermula awal dan pertengahan September lalu dan terbaru Selasa lalu itu, dirakam menerusi CCTV yang dipasang di premis berkenaan.

Lebih mengecewakan perbuatan kali ketiga terbabit turut dilindungi wanita dewasa yang dipercayai ibunya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian pada Khamis lalu.

"Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Pkharuddin Ghazali berkata, memandang ia sudah menjadi kes polis, jabatan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan siasatan.

"Kami sudah memanggil keluarga berkenaan dan menasihatkan mereka untuk ke balai polis berdekatan bagi memberi kerjasama sewajarnya supaya kes ini dapat diselesaikan dengan segera.

"Oleh kerana pelajar itu berkeperluan khas, Jabatan Pendidikan sudah mengarahkan pihak sekolah memberi perhatian yang lebih khusus supaya mampu menguruskan diri terutama di tempat awam," katanya.

Berita berkaitan:

Kurang ajar...[METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 5:05 PM