GAMBAR hiasan


PEMANDU perkhidmatan e-panggilan seperti Uber dan Grab tetap tertakluk kepada pembayaran cukai sekiranya jumlah pendapatan diperolehi mereka dalam setahun mencapai tahap minimum.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Sabin Samitah berkata, pihaknya ada mekanisme untuk mengenal pasti semua perkhidmatan dalam talian dan bahagian khusus untuk melakukan pemantauan.

"Kami ada maklumat mereka, kalau mereka nyatakan mereka pemandu Uber. Bagaimanapun, apa yang kita boleh dapat adalah berdasarkan maklumat yang mereka laporkan saja.

"Namun, tak semua pemandu ini layak dikenakan cukai. Kalaupun dia mempunyai pendapatan, tetapi jumlah pendapatan itu di bawah paras yang layak dikenakan cukai, individu terbabit tidak akan dikenakan cukai.

"Seseorang itu hanya layak dikenakan cukai sekiranya jumlah pendapatan dalam setahun mencapai tahap minimum. Tahap mininum kalau dalam bentuk penggajian lebih kurang RM35,000 setahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LHDN sempena Pertandingan Kembara Inovasi Hasil 2017 di Rumah Seri Kenangan di Cheras, Selangor, hari ini.

SABIN (tiga kanan) menyampaikan sumbangan mesin basuh untuk kegunaan penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras. Turut bersama, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Siti Fatimah Ismail (kiri). FOTO Asyraf Hamzah

Sementara itu, beliau berkata, LHDN sudah mengambil tindakan ke atas beberapa syarikat gergasi yang mempunyai tunggakan cukai.

"Kami telah mengambil tindakan mahkamah. Namun, beberapa syarikat gergasi telah datang ke LHDN untuk melunaskan bayaran cukai tertunggak.

"Satu daripadanya ialah syarikat gergasi yang terlibat dalam perhotelan dan jumlah cukai yang mereka bayar adalah RM42 juta," katanya.

Mengenai program CSR itu, katanya, ia adalah satu inisiatif dan platform kemasyarakatan kepada pihaknya untuk beramah mesra, berinteraksi, mengeratkan hubungan, membantu dan menyantuni warga emas di rumah berkenaan.

Selain itu katanya, secara tidak langsung masyarakat mendapat maklumat berkaitan percukaian melalui poster yang ditampalkan pada kereta peserta program berkenaan. "Kami tidak membuat peruntukan khusus dalam aktiviti seperti ini. Apa yang LHDN buat kebiasaannya ialah meminta sumbangan daripada warga Hasilian untuk memberikan sumbangan atas kesedaran sendiri.

"Daripada sumbangan itu, kami guna untuk membeli peralatan dan barang yang kami sumbangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 6:25 PM