Antara ular yang ditangkap. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli

LEBIH 70 kes tangkapan ular direkodkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas banjir kilat melanda di dua daerah iaitu Kota Setar dan Kulim sejak 22 September hingga 3 Oktober lalu.

Antara ular yang banyak ditemui adalah ular tedung selar dan ular tedung senduk selain ular sawa di rumah penduduk yang dimasuki air.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kota Star, Kapten (PA) Mohd Zain Baharum berkata, ular biasanya akan mengikut arus air sungai dan masuk ke dalam rumah penduduk untuk mendapatkan perlindungan.

Katanya, apabila air surut reptilia ini akan bersembunyi di kawasan yang dirasakan sesuai di setiap sudut rumah penduduk tetapi amat bahaya jika ia terasa terancam.

"Sehingga 3 Oktober lalu, anggota kami menerima banyak kes ancaman ular dan daripada jumlah itu, 39 kes tangkapan reptilia itu di sekitar rumah penduduk yang dinaiki air.

"Kita nasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri menangkap ular berkenaan kerana bimbang ia akan mengancam keselamatan dan terus menghubungi pasukan penyelamat untuk menangkapnya kerana anggota kami mempunyai peralatan dan kemahiran menangkap reptilia berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zain berkata, semua ular itu kemudian dibawa ke pejabat APM Kota Setar sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pegawai APM Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, selain sibuk memindahkan mangsa banjir, anggotanya juga turut menerima banyak panggilan berkaitan penemuan ular di kawasan rumah penduduk terjejas.

Beliau berkata, setakat ini lebih 30 ekor reptilia itu yang kebanyakannya ular tedung selar dan senduk berjaya ditangkap dan dibawa ke pejabat untuk disimpan sementara sebelum diserahkan kepada PERHILITAN.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 8:33 PM