Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 23 individu ditahan dalam serbuan Operasi Dadu (Op Dadu) di premis judi dalam talian di Jalan Puteri 7/10, Puchong, Serdang, kira-kira 1 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya menahan 17 pemain judi termasuk tujuh lelaki warga Indonesia yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

"Kami turut menahan enam penjaga premis warga Indonesia termasuk seorang wanita yang berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

"Premis ini pernah diserbu bulan lalu, namun dipercayai beroperasi semula beberapa hari selepas serbuan," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Megat berkata, pihaknya turut merampas 18 komputer, empat mesin simulator dan enam mesin slot.

"Semua rampasan dianggarkan bernilai lebih RM200,000.

"Mereka yang ditahan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 2:18 AM
Megat Mohamad Aminuddin ditemubual wartawan selepas serbuan dan antara mesin simulator yang dirampas. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin