DR Subramaniam
Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Kegagalan ibu bapa menghantar anak mereka menjalani program imunisasi Kementerian Kesihatan dikhuatiri menjadi punca penularan penyakit beguk atau mumps dalam kalangan murid.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, walaupun jumlah penyakit itu menurun, namun dari masa ke masa ia masih berlaku di negara ini.

“Jumlah kes ini berkurangan dari masa ke masa termasuk di negeri lain, tetapi tahun lalu ada satu masa ia lebih banyak di sesuatu tempat.

“Oleh itu, kita lihat mengapa ia berlaku. Antaranya sama ada murid ini mendapat vaksin atau tidak memandangkan ada kumpulan antivaksin yang berisiko mendapat penyakit itu,” katanya selepas sesi rakaman ucapan Deepavali di kediamannya, semalam.

Jumaat lalu, Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Zainudin Abdul Wahab berkata, kejadian kluster beguk kembali dikesan di Putrajaya namun siasatan mendapati ia tiada kaitan dengan jemaah yang kembali menunaikan haji.

Beliau berkata, pihaknya menerima makluman mesej tular mengaitkan jangkita dengan jemaah haji baru kembali dari Makkah.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam menggesa ibu bapa memastikan anak diberi vaksin seperti disarankan Kementerian Kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 6:20 AM